KUALA LUMPUR, 11 Sept (Bernama) -- Malaysia berharap inisiatif Rusia supaya Syria menyerahkan semua senjata kimianya di bawah penyeliaan antarabangsa menjadi langkah ke hadapan dalam menyelesaikan konflik di negara bergolak itu.
Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata Malaysia mengalu-alukan inisiatif Rusia itu.
Dalam kenyataan Rabu, beliau menegaskan Malaysia mengutuk pemilikan dan penggunaan senjata kimia oleh mana-mana negara kerana ia bertentangan dengan undang-undang antarabangsa dan kemanusiaan.
"Justeru, Malaysia menyokong inisiatif itu dan berharap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan negara yang terlibat, termasuk masyarakat antarabangsa melaksanakan cadangan tersebut dengan kadar segera dan jayanya.
"Dengan perkembangan positif ini, Malaysia berharap inisiatif itu dapat menjadi satu langkah ke hadapan kepada masyarakat antarabangsa serta pihak yang bertelagah di Syria ke arah mencari penyelesaian secara aman terhadap krisis tersebut," katanya.
Beliau juga berkata Malaysia percaya bahawa campur tangan ketenteraan asing untuk menguatkuasakan larangan terhadap penggunaan senjata kimia haruslah dielakkan kerana tindakan itu hanya akan menyebabkan kemusnahan dan penderitaan lebih dahsyat kepada rakyat Syria dan menjejaskan kestabilan serantau.
Syria dilaporkan menerima cadangan Rusia agar semua senjata kimianya diletakkan di bawah kawalan antarabangsa untuk tindakan berikutnya bagi mengelak serangan udara Amerika Syarikat.
Menurut laporan, Menteri Luar Syria, Walid Al-Moallem menyatakan perkara itu pada Selasa selepas beliau mengadakan pertemuan dengan speaker Parlimen Rusia di Moscow.
-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan