MELAKA, 1 Okt (Bernama) -- Kajian sekumpulan
penyelidik sejarah mendapati bangsa Melayu berasal dari Timur Tengah
berbanding teori sebelum ini yang menyebut bangsa itu berasal dari
Yunan.
Presiden Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) Datuk Seri Mohd Ali Rustam
berkata kajian 20 tahun itu dilakukan Felo Penyelidik Utama dan Institut
Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
Prof Emeritus Datuk Dr Nik Hassan Suhaimi Nik Abd Rahman; Pensyarah
Fakulti Pengajian dan Pengurusan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia
Prof Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh dan Pengerusi Suara Pribumi Zaharah
Sulaiman.
Beliau berkata penemuan berkenaan disokong bukti saintifik sekaligus menyanggah penemuan sejarah terdahulu.
"Dari segi genetik daripada kajian asid deoksiribonukleik (DNA) yang
dilakukan, DNA kita tidak sama dari negara di utara khususnya dari
Yunan, DNA orang Melayu ini sama dengan orang Timur Tengah.
"Kajian ini penting kerana DNA menentukan keturunan dan asal usul
kita, penemuan baharu ini amat kuat dan boleh dipertahankan," katanya
kepada pemberita selepas merasmikan Simposium Serantau Asal Usul Melayu
Menelusuri Tunjang Melayu di sini, hari ini.
Mohd Ali berkata hasil kajian berkenaan telah dibukukan dan bakal diterbitkan untuk tatapan umum.
Sementara itu, Dr Nik Hassan Suhaimi berkata teori bangsa Melayu
berasal dari Timur Tengah juga dapat dibuktikan melalui tiga lagi
pendekatan kajian iaitu ethno-linguistik (bahasa), turun naik paras laut
(geologi) dan kebudayaan material (artifak).
-- BERNAMA--
Tiada ulasan:
Catat Ulasan